KOTA KINABALU: Kepimpinan UMNO Sabah mengecam sekeras-kerasnya kenyataan yang dibuat oleh Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sukau, Datuk Juhari Janan dalam Majlis Himpunan Gagasan Rakyat Sukau dan Lamag, pada Sabtu.
Pengarah Jabatan Pilihanraya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed berkata, intipati ucapan yang dibuat, jelas dan nyata bahawa PGRS tidak menyokong Kerajaan Perpaduan sedia ada.
“lni berikutan ramalan mereka bahawa BN dan PH, yang merupakan sebahagian parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan, akan kalah dalam 6 PRN yang bakal  berlangsung tidak lama lagi,” katanya.
Tegas Jeffery, Presiden Parti Gagasan Rakyat SabaH (PGRS) harus bertanggungjawab terhadap kenyataan tersebut.
“lni menunjukkan bahawa PGRS berharap, agar kerajaan Madani akan kalah dalam PRN tersebut. Sekaligus menunjukkan bahawa PGRS sebenarnya tidak ikhlas menyokong Kerajaan Perpaduan”
“Pendirian ini juga menunjukkan pendirian Hajiji yang dibuat pada 25 November 2022 untuk menyokong Kerajaan Perpaduan adalah satu sandiwara sahaja dan bukan dibuat dengan ikhlas,” tambahnya.
Selain itu, Jeffery memberitahu kenyataan yang dibuat Presiden PGRS. Bahawa PGRS seolah-olah ingin merampas kerusi DUN Lamag dan Sukau, yang kini digalas oleh Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dan juga Datuk Jafry Ariffin menunjukkan bahawa mereka langsung tidak menghormati parti UMNO yang bersama dalam Kerajaan Perpaduan.
“Hasrat untuk merampas kerusi  dari Pengerusi UMNO Sabah dan Setiausaha UMNO Sabah dilihat sebagai satu penghinaan terhadap UMNO Sabah”
“lni membuktikan bahawa PGRS dari dulu hingga kini, langsung tidak pernah menghormati UMNO Sabah dan melihat UMNO Sabah sebagai satu rakan kongsi tetapi hanya sebagai satu parti yang berperanan untuk menambah sokongan kerusi kepada GRS sahaja,” katanya.
Jeffery yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan berkata, kenyataan tersebut juga menunjukkan sebarang harapan untuk Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan PGRS sudah semakin tidak relevan.
“UMNO/BN Sabah akan terus bergerak kehadapan untuk memastikan kemenangan berpihak kepada kita”
“UMNO/BN Sabah juga akan memastikan bahawa sekiranya perbincangan untuk bekerjasama dengan mana-mana parti berlaku, UMNO Sabah akan memilih  parti yang menghormati kita dan ikhlas bersama dengan kita,” katanya.
Beliau menjawab kenyataan  PGRS bahawa  mereka akan merampas kerusi DUN Lamag dan Sukau.
“Sila cuba kerana UMNO/BN Sabah mendokong amalan demokrasi”
“UMNO/BN Sabah akan pertahankan  habis habisan, bukan sahaja  DUN Lamag dan Sukau, tetapi juga DUN-DUN yang diwakili Adun UMNO/BN termasuklah kerusi yang dicuri oleh PGRS,” tambahnya.
Jeffery menasihatkan kepada PGRS untuk jangan terlalu angkuh dan ingatlah  bahawa pada PRN 2020.
“Kamu bertanding atas tiket Perikatan Nasional, yang telah kamu tanpa segan silu tinggalkan apabila mereka tewas pada PRU15, hanya berjaya menang  17 kerusi”
“Tidak cukup untuk membentuk kerajaan negeri dan hanya atas sokongan  BN baru kamu dapat membentuk kerajaan  Negeri. UMNO Sabah juga memberi peluang Datuk Seri untuk memegang jawatan Ketua Menteri seperti yang diakui sendiri oleh mantan Perdana Menteri Tan Sri  Muhyiddin pada 28 September 2020,” katanya.
Beliau menambah, UMNO Sabah percaya Presiden PGRS akan bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dibuat beliau dan juga Datuk Juhari Janan.
“Serta mencabar beliau, sekiranya beliau yakin dengan sokongan terhadap GRS, untuk nyatakan pendirian sebenar mereka bahawa mereka tidak menyokong Kerajaan Perpaduan,” katanya,