RANAU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berjanji, segera atasi masalah dihadapi golongan petani di Kundasang, selain mengemukakannya isu ini kepada kementerian berkaitan di peringkat atasan.
Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Malaysia, Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, permasalahan yang dihadapi para pengusahan tanaman sayuran tanah tinggi sudah membelengu petani sekian lama dan perlu diatasi segera.
“Antara masalah yang dihadapi petani bagi mengusahakan pertanian mereka termasuklah kemudahan jalan raya yang sempurna, bekalan air bersih dan bekalan elektrik”
“Kemudahan ini sepatutnya sudah lama dinikmati ribuan penduduk yang mengusaha tanah pertanian khususnya untuk tanaman pelbagai jenis sayuran tanah tinggi Kundasang,”
Beliau berkata pihaknya berharap agar petani di kawasan Kundasang ini dapat bersabar sementara menunggu tindakan positif yang bakal dilaksanakan pihak MAFI untuk mengatasi permasalahan dihadapi itu.
“Masalah ini akan dikemukakan kepada kementerian berkaitan dan kita berharap ianya mendapat tindakan yang positif daripada pihak kementerian berkaitan” katanya semasa melakukan tinjauan penjaja sayuran di kios pekan Kundasang dan kebun sayuran di Mosailou dan Montoki.
Sementara itu Pengerusi Persatuan Pengusaha Pertanian Kundasang Simon Leong berkata, beliau mewakili seluruh warga petani berharap adanya bantuan daripada MAFI untuk menyelesaikan permasalahan dihadapi.
Katanya banyak masalah harus dihadapi termasuklah masalah pertanian, berkenaan laluan jalan raya ke kawasan tanah pertanian, bekalan air bersih dan bekalan eletrik malah dari aspek lain termasuk lokasi Pasar Borong yang tidak sesuai serta petani yang tidak mendapat subsidi.
“Petani juga berhadapan dengan harga racun, baja dan harga peralatan pertanian yang melambung tinggi, selain MyGap dan kekurangan tenaga kerja berikutan ramai pekerja yang sudah balik ke tempat asal mereka berikutan pandemik COVID-19,” katanya.
Tambah Simon, golongan petani juga memerlukan kursus pertanian terutama dalam teknologi Green House yang boleh menjamin hasil keluaran yang berkualiti dan berterusan.
“Kita melihat potensi besar pada kilang tomato serta kilang lain berkaitan tanaman bawang merah yang dilihat mampu dipasarkan ke luar negeri kelak.”
Turut hadir Penasihat Persatuan Pengusaha Pertanian Kundasang Datuk Jimmy Tham Yok Leong, Pengarah Mardi Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani, Naib Pengerusi Eksekutif SKM dan Datuk Umar Sarim Saidin. -Utusan Borneo