PETALING JAYA: Baru-baru ini belia yang berusia 18-20 tahun serta pelajar sepenuh masa berpeluang menebus kredit ePemula bernilai RM150 setiap individu yang disalurkan oleh pihak kerajaan Malaysia.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, e-Pemula akan dikreditkan RM150 secara one-off ke dalam akaun para belia yang berumur 18 hingga 20 tahun dan juga pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi dan difahamkan peruntukan sebanyak RM300 juta ini akan mampu memberi manfaat khas kepada lebih 2 juta golongan belia serta pelajar IPT sepenuh masa di institut pengajian tinggi dalam usaha meringankan beban kewangan mereka.
Sebanyak empat platform atau aplikasi yang boleh digunakan oleh belia dan para pelajar untuk menebus e-Pemula iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet.
Namun begitu, disebalik inisiatif yang ditawarkan, apa yang mengejutkan segelintir pihak khususnya penuntut IPT adalah program skim transaksi tanpa tunai ini tidak membenarkan pengguna untuk berbelanja secara dalam talian. Dalam erti kata lain, para pengguna berpeluang menebus menerusi salah satu daripada empat platform terpilih dan hanya dibenarkan untuk berbelanja secara offline sahaja iaitu digunakan untuk pembelian di premis tertentu sahaja.
Hal ini membuatkan pelajar institusi pengajian tinggi(IPT) melahirkan rasa kecewa apabila bantuan e-tunai iaitu e-Pemula yang diberikan kerajaan tidak boleh digunakan untuk pembelian secara dalam talian. Rata-rata pelajar menyuarakan rasa tidak puas hati dan kesal selain menyifatkan langkah itu menyusahkan dan tidak membantu meringankan beban mereka.
Dengan itu, para belia serta pelajar yang terlibat dalam menerima eBelia dinasihatkan agar memilih platform yang sesuai untuk kegunaan dalam memudahkan perbelanjaan di rangkaian kedai terpilih kelak dan tempoh tuntutan kredit adalah bermula dari 11 April sehingga 1 Jun ini dan kredit tersebut boleh dibelanjakan sehingga 10 Jun depan.