spot_img
HomeJenayahPasangan pengasuh Eric didakwa membunuh

Pasangan pengasuh Eric didakwa membunuh

Kuching: Sepasang suami isteri, tepatnya pengasuh kanak-kanak lelaki berusia empat tahun Eric Chang Wei Jie yang dilaporkan hilang baru-baru ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan membunuh, awal bulan ini.

Ling Kok Liang, 51, dan isterinya Wendy Chai Xue Zhen, 36, menghadapi tuduhan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Berdasarkan pertuduhan kes, pasangan itu yang juga penjaga kanak-kanak berkenaan didakwa secara bersama membunuh Eric Chang Wei Jie di sebuah rumah di Taman Riverview, Jalan Daya, Bintawa antara jam 5 petang 4 Mac hingga jam 9.15 pagi 7 Mac lalu.

Majistret Zaiton Anuar kemudian menetapkan 9 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh ditahan reman di Penjara Puncak Borneo, sementara menunggu tarikh itu.

Terdahulu, pada 7 Mac lalu, ibu mangsa, Dynasty Chang Ka Hui, 25, membuat laporan di Balai Polis Bintawa berhubung kehilangan anak lelakinya selepas gagal mencari anaknya itu yang dilaporkan hilang daripada rumah penjaganya.

Berikutan itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan pencarian dilakukan di kawasan Bintawa di sini.

Bagaimanapun, kes berkenaan kemudian diklasifikasikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada 13 Mac lalu.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular