TAWAU: Democratic Action Party (DAP) mahu fokus kepada parti, memperbaiki kelemahan dalaman dan meningkatkan semangat ahli.
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, semangat perjuangan DAP tidak boleh dipadamkan oleh pemimpin yang mengkhianati mandat rakyat, kerana masih ada ahli setia dengan parti itu.
Jelas beliau, DAP masih meneruskan perjuangan walaupun ada pemimpinnya keluar parti serta memastikan ia dapat membentuk kerajaan yang membela rakyat.
“Kita tidak mahu rakyat lebih menderita dengan pengurusan lemah dengan kos sara hidup dan harga barangan asas meningkat tanpa sebarang tindakan daripada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, hubungan politik dengan parti Warisan akan diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan DAP Sabah.
Pengerusi DAP Sabah, Frankie Poon berkata, DAP tiada masalah walaupun dua ADUN telah keluar parti baru-baru ini.
“Kami telah cuba memujuk dua ADUN itu supaya tidak bertindak sedemikian, namun mereka tetap dengan pendiriannya,” ujarnya.
ADUN Elopura, Calvin Chong dan ADUN Sri Tanjong, Justin Wong, keluar parti pada 20 Januari tahun ini telah menyertai Warisan diketuai, Shafie Apdal.