Cerita misteri tentang Kampung Telaga Tujuh di Kunak, Sabah ini telah diwariskan dari generasi ke satu generasi oleh setiap penduduk kampung yang tinggal disekitar telaga. Kampung Telaga Tujuh ini mendapat nama sempena daripada kewujudan tujuh buah telaga yang ada di tempat tersebut.
Walaupun kewujudan telaga tujuh tersebut telah lama namun ianya semakin dilupakan oleh masyarakat kini. Sehinggakan tiada siapa yang mengetahui sejarah tentang kampung tersebut melainkan orang lama yang tinggal dikampung itu.
Menurut Anil Dahawan selaku Pengerusi JKK Kampung Telaga Tujuh berkata, sejarah pembukaan Kampung Telaga Tujuh tersebut mula dibuka oleh Panglima Masdal. Dimana beliau berasal dari Kampung Terusan, Semporna.
“Beliau berpindah ke kampung yang misteri tersebut sehinggakan kampung yang dulunya hanyalah sebuah tempat yang terpencil kini semakin meluas dan memiliki penduduk yang ramai,” katanya.
Namun begitu penduduk yang tinggal di kampung ini, hanyalah didiami oleh mereka yang memiliki talian kekeluargaan sahaja. Ini membuktikan bahawa, penduduk asal kampung tersebut adalah dari Semporna, Sabah.
Pada mulanya perusahaan utama yang dilakukan oleh penduduk Kampung Telaga Tujuh ini, mereka melakukan perusahaan menanam koko. Namun ekoran harga koko yang mula merudum pada waktu itu telah menyebabkan tanaman tersebut dipindahkan kepada penanaman pokok kelapa sawit sehinggalah kini.

Menurut beliau lagi, penemuan tujuh buah telaga tersebut seringkali dikaitkan dengan cerita mitos dan legenda. Dimana pada mulanya kampung tersebut hanyalah memiliki sebatang sungai dan batuan- batuan yang bersih dan tidak tercemar dan dikatakan pada suatu hari turun tujuh orang puteri yang bermandi manda disitu.
Namun apabila mereka rasa suka berada disungai tersebut mereka sering datang ke sungai tersebut untuk bermandi manda sehinggakan pada suatu hari tujuh orang puteri tersebut naik ke langit dan memberitahu tentang tempat tersebut kepada Ayahanda mereka. Sehinggakan mereka meminta kepada Ayahanda mereka, membuat tujuh buah telaga untuk mereka bermandi manda disitu dan permintaan tersebut Ayahanda mereka turuti.
Ayahanda mereka pun meminta kepada salah seekor jin yang bermata satu untuk turun ke bumi bagi membina tujuh buah telaga ditempat tersebut. Lalu puteri tersebut menjadikan tempat itu sebagai tempat kegemaran mereka bermandi manda.
Jin tersebut bernama Buragas dan dia telah diamanahkan untuk melaksanakan tugas yang diperintahkan Ayahanda daripada ketujuh-tujuh puteri tersebut.
Selama tempoh beberapa kali mereka naik turun untuk bermandi manda ditempat tersebut pada suatu masa itu berlaku pula insiden dimana manusia melihat ketujuh puteri ini, lalu manusia tersebut menyembunyikan sayap salah satu dari puteri tersebut. Kemudian puteri yang kehilangan sayap tersebut tidak dapat naik kelangit lagi.
Saudaranya yang dapat naik ke langit itu pula menyampaikan berita buruk itu kepada Ayahanda mereka bahawa salah satu saudara mereka tidak dapat naik ke langit lagi ekoran saudara mereka itu kehilangan sayap menyebabkan puteri itu hanya dapat tinggal dibumi.
Selepas kejadian itu, Ayahanda mereka pun telah membuat satu sumpahan bagi mengelakkan puterinya itu rasa terancam dengan manusia. Dimana dalam sumpahan tersebut dia mengatakan bahawa kepada sesiapa yang melihat puterinya itu lalu menceritakan puterinya itu kepada orang lain nescaya manusia itu akan mati.
Dari kisah mitos ini ianya pernah berlaku apabila ada seorang manusia yang menjumpai dan melihat puteri yang kehilangan sayap itu lalu dia menceritakan kepada orang lain telah mendapat musibah.
Pada akhirnya dari kisah ini, apabila ada sesuatu yang kita nampak kita tidak perlu menceritakannya kepada orang lain. Hal ini dilihat memang sukar untuk dipercayai ekoran ianya termasuk dalam cerita mitos namun cerita ini pula ada hubung kaitnya dengan kejadian yang pernah berlaku pada zaman sekarang.
Hal ini dapat dibuktikan apabila ada masyarakat kampung yang mana anaknya pergi bermandi-manda ke telaga tersebut. Dua beradik ini bermandi-manda dikawasan itu namun salah seorang pemuda itu mula tergamam seolah-olah dia melihat sesuatu lalu dia berbisik kepada abangnya megenai hal itu.
Namun selepas berbisik itu tidak sangka dia terjatuh kedalam salah sebuah telaga tersebut. Telaga yang dimaksudkan, merupakan satu-satunya telaga yang paling besar dan selepas dia jatuh beberapa pemuda yang lain yang cuba menyelam dan menyelamatkannya namun tidak berjaya ekoran ianya sukar untuk ditemui lagi.
Namun ada seorang yang berilmu dan tahu perihal-perihal ghaib seperti itu datang untuk membantu. Beliau meminta kepada pemuda-pemuda yang membantu mencari lelaki yang tenggelam itu untuk naik ke atas lalu dia taburkan beberapa butir beras kedalam telaga tersebut dan menyuruh beberapa pemuda untuk kembali turun ke dalam air tersebut untuk mencari mangsa yang hilang tadi.
Selang beberapa minit kemudian, pemuda yang membantu mencari mangsa yang hilang tadi melihat bahawa mangsa yang dimaksudkan tadi tengah duduk bersila ditengah-tengah kolam tersebut lalu menariknya naik keatas namun apabila sampai diatas mangsa tersebut tidak bernyawa lagi ekoran banyak darah yang sudah keluar daripada hidung mangsa.
Ini jelas membuktikan bahawa cerita mitos itu ada hubung kaitnya dengan insiden yang berlaku pada zaman sekarang. Kisah mitos sebegini perlu diambil iktibar untuk diri sendiri dan juga orang lain.
Oleh itu, sebaiknya-baiknya apabila melihat perkara-perkara yang pelik ketika berada di kampung tersebut elakkan daripada memberitahu atau menyampaikan hal tersebut kepada orang lain bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
Jelaslah bahawa, setiap hujahan yang Encik Anil Dahawan, berikan mendapat sokongan daripada Encik Gambu Saleh Julaili yang merupakan seorang penduduk lama Kampung Telaga Tujuh tersebut ini membuktikan bahawa cerita mitos ini wujud sejak dahulu lagi ibarat ianya “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.
Penulis: Masrina Alminyo