Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini hari ini, memutuskan sama ada prosiding pendengaran permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan kes dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dijalankan secara hibrid atau berdepan dengan waran tangkap.
Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang mempengerusikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, mengarahkan pendengaran permohonan rayuan Najib akan didengar pada jam 12.30 tengahari ini secara talian.
Ini berikutan permohonan yang dikemukakan oleh firma guaman Tetuan Shafee & Co kepada Mahkamah Rayuan melalui surat bertarikh semalam supaya prosiding pendengaran pagi ini ditangguhkan apabila pasukan pembelaan menjadi kontak rapat selepas seorang daripada peguam Najib disahkan positif Covid-19.
Hakim Abdul Karim kian hilang sabar dan mengingatkan peguam pasukan pembelaan bahawa mereka berada di mahkamah yang mengikut lunas undang-undang dan bukan di kedai kopi yang boleh melakukan tindakan sesuka hati.
Beliau juga berang apabila mereka tidak bersikap professional menerusi tindakan permohonan penangguhan itu tidak dihadiri dua penjamin dan mereka hanya muncul ketika prosiding sedang berlangsung.
“Hari ini adalah prosiding pendengaran dan patutnya dua penjamin Najib telah diberitahu terlebih dahulu. Tahukah kamu kita boleh batalkan jaminan (RM2 juta) dan keluarkan waran tangkap kerana tidak hadir mahkamah?”
“Kamu (penjamin) sendiri tidak tahu mana Najib, kamu hanya main teka. Ini bukan kedai kopi, ini mahkamah berteraskan undang-undang. Jangan kamu main teka-teka”
Dengan itu mahkamah menetapkan tidak ada penangguhan esok bagi menyampaikan keputusan sama ada untuk membebaskan Najib atau mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya selepas didapati bersalah dalam kes SRC International.
Sepanjang tujuh bulan lalu, pasukan pembelaan mengemukakan rayuan dengan 307 alasan mengapa Najib tidak patut didapati bersalah atas semua tujuh tuduhan.