spot_img
HomeSosiobudayaMajlis naik duit pelengkap adat perkahwinan etnik Bugis

Majlis naik duit pelengkap adat perkahwinan etnik Bugis

TAWAU: Sabah kaya dengan kepelbagaian budaya dan etnik yang masih mengekalkan kepercayaan masing-masing. Salah satu etnik yang terkenal adalah etnik Bugis. Etnik Bugis terkenal sebagai etnik yang bukan sahaja memelihara warisan budaya, tetapi juga masih tegar dalam mengamalkan pantang larang dan pelaksanaan adat contohnya dalam adat perkahwinan.

Dalam majlis perkahwinan etnik Bugis, terdapat beberapa adat yang masih diamalkan oleh mereka. Antaranya ialah Majlis Naik Duit yang mempunyai keunikan dan maksud tersendiri.

Majlis naik duit – Foto Marliha Roslee

Hasmawati Tahir, 25 tahun, penduduk Kampung Kinabutan Tawau berkata, Majlis Naik Duit merupakan satu upacara yang dilakukan sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan dalam etnik Bugis.

“Majlis Naik Duit adalah terjemahan daripada perkataan Bugis iaitu “Ma’pengrek duwi” yang bermaksud penyerahan duit hantaran oleh pihak atau wakil bakal pengantin lelaki kepada pihak atau wakil bakal pengantin perempuan”

“Duit-duit itu akan diletakkan di dalam dulang atau talam yang berisi beras bersama sedikit rempah 4 sekawan iaitu kayu manis, pelaga, bunga lawang dan cengkih. Duit dan barang-barang yang terdapat di dalam dulang tersebut akan digaul-gaul bersama,” tambahnya lagi.

Talam atau dulang yang berisi duit, beras dan rempah – Foto Marliha Roslee

“Bunyi gemersik duit, beras dan rempah di dalam dulang melambangkan perasaan gembira kerana mengalu-alukan kedatangan ahli baru dalam keluarga.”

“Selepas upacara itu, duit akan diberikan kepada ibu bakal pengantin perempuan untuk disimpan. Perbincangan diteruskan dengan menetapkan tarikh untuk majlis perkahwinan.”

“Selesai penetapan tarikh, majlis ditutup dengan acara makan-makan  Mengikut adat, tetamu akan dihidangkan dengan hidangan khas dikenali sebagai Palopo’. Palopo’ adalah pulut yang dimakan bersama gula merah yang dimasak bercampur dengan telur” tambah beliau lagi.

Sesungguhnya, setiap etnik mempunyai keunikan dan keistimewaan yang sepatutnya dipelihara agar tidak lapuk ditelan zaman.

Penulis : Marliha Roslee

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular