SUNGAI PETANI: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadap seorang lelaki atas tuduhan melindungi Abdul Hamim Ab Hamid atau dikenali sebagai “Long Tiger” yang melarikan diri dari Mahkamah Tangkak, Jodoh, pada Disember lalu.
Tertuduh, Rusli Mat, 47, lelaki berperwatakan wanita yang bekerja sendiri itu membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Ainna Ahmad.
Berikutan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 5 bulan kepada lelaki terbabit bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 28 Disember 2021.
Mengikut pertuduhan, Rusli didakwa melindungi Abdul Hamim Ab Hamid, 33, di sebuah rumah bernombor 854A Kebun Tebu, Jalan Kuala Ketil, pada 28 Disember tahun lalu.
Berdasarkan maklumat kes, Rusli menerima panggilan telefon daripada satu nombor yang tidak dikenali lebih kurang pukul 10 pagi pada 18 Disember di mana individu tersebut memperkenalkan dirinya sebagai Abdul Hamim Ab Hamid yang ingin menumpang sementara di rumah tertuduh sebelum melarikan diri ke Indonesia.
Tertuduh juga dilaporkan dengan rela hati memberikan kebenaran kepada lelaki beretnik Rohingya itu untuk melindunginya daripada pihak polis sementara menunggu tekong yang akan membawanya ke Indonesia.
Serbuan yang dilakukan pada jam 3 petang telah menyebabkan Rusli ditahan setelah dipercayai menyembunyikan Long Tiger yang ketika itu menjadi buruan polis selama hampir dua minggu.
Terdahulu, Long Tiger bertindak melarikan diri dari lokap Mahkamah Tangkak, Johor, ketika menghadiri perbincaraan kes mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan, pada 15 Disember, tahun lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azreem Mamat dan Zulfadzly Hassan manakala Rusli diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Ruzanna Abdul Rahim. – BERNAMA