JAKARTA: Kementerian Hal Ehwal Agama Indonesia mengeluarkan kenyataan bahawa seramai 419 orang jemaah negara itu dibenarkan untuk menunaikan umrah. Jumlah ini merupakan jumlah jemaah paling tinggi yang dibenarkan menunaikan umrah dalam tempoh dua tahun sejak pandemik wabak COVID-19 melanda dunia.
“Diharapkan Allah memberkati kita untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah umrah dan negara,” kata Ketua Pengarah Haji dan Umrah, Kementerian Hal Ehwal Agama, Hilman Latief dalam kenyataan beliau semalam.
Beliau menambah, rancangan awal pelepasan jemaah umrah sebenarnya ditetapkan pada Disember 2021, namun kementerian menangguhkannya berikutan situasi COVID-19 yang tiba-tiba melonjak dalam negara.
Latief mengingatkan agar kumpulan pertama jemaah yang diberi peluang pada tahun ini untuk mematuhi peraturan pencegahan penularan COVID-19 sama ada di negara itu atau di Arab Saudi.
“Jemaah dinasihatkan agar bertanggungjawab terhadap amanah diberikan kerajaan Indonesia dan Arab Saudi. Jemaah umrah Indonesia juga digesa untuk sentiasa patuh kepada peraturan terutama berkaitan protokol kesihatan ditetapkan. Ingat, pandemik COVID-19 belum berakhir,” tegasnya.
Latief juga berkata pihak mereka kini sedang memuktamadkan peraturan berhubung pelaksanaan umrah ketika pandemik, termasuk perkara berhubung sistem integrasi dengan kerajaan Arab Saudi.
“Kami akan menyemak syarat keperluan kesihatan yang telah digariskan kedua-dua kerajaan khasnya miliki sijil vaksin, ujian kesihatan, kuarantin dan saringan kesihatan untuk jemaah,” katanya.
Persiapan pelepasan jemaah umrah dibuat melalui kerjasama di antara Kementerian Kesihatan, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Pasukan Petugas COVID-19, Pihak Berkuasa Lapangan Terbang dan Badan Mitigasi Bencana Negara (BNPB).
Diharapkan jemaah yang terlibat dipermudahkan segala urusan dan berpeluang menunaikan umrah dengan sebaiknya.


