PUTRAJAYA: Melihat kepada kestabilan kes harian covid-19 yang dicatatkan sebelum ini, kerajaan mengambil keputusan untuk menghentikan Perintah Kawalan Pergerakan dan rakyat kembali bebas melakukan pergerakan ke luar dengan syarat untuk terus memenuhi SOP yang telah digariskan.
Namun, catatan angka kes positif hari ini kembali mencatatkan angka yang membimbangkan dimana berlaku peningkatan sebanyak 7,234 kes baharu, setakat jam 12 tengah hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peningkatan itu menyumbang kepada jumlah keseluruhan kes jangkitan baharu iaitu sebanyak 2,895,014 kes.
Semalam, kes positif dilaporkan sebanyak 5,720 kes dan hari ini kes meningkat secara mendadak kepada 7,234 kes. Kali terakhir Malaysia melaporkan kes harian melepasi 7,000 kes pada 16 Oktober lalu dengan 7,509 kes.
Mengulas mengenai kes yang dilaporkan hari ini, Dr Noor Hisham berkata, ia membabitkan 99 peratus atau 7,161 kes dalam kategori satu dan dua.
Satu peratus kes adalah bersamaan dengan 73 kes dalam kategori tiga hingga lima iaitu mempunyai radang paru-paru serta memerlukan alat bantuan pernafasan dan kritikal.
Daripada keseluruhan jumlah kes aktif di negara ini, terdapat 118 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 81 kes daripadanya disahkan COVID-19 dengan 37 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.
Sementara itu, bagi kes dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat ini terdapat 57 kes iaitu 34 kes disahkan COVID-19 serta 23 kes disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.
Dr Noor Hisham berkata, selain kes baharu, jumlah kluster turut mencatatkan peningkatan dengan 21 kluster baharu telah dikesan yang menjadikan jumlah kluster yang masih aktif di negara ini sebanyak 346 kluster.
“Sehingga jam 12 tengah hari ini terdapat 5,254 kes sembuh dan menjadikan jumlah sembuh keseluruhan sebanyak 2,799,608 kes COVID-19,” katanya.


