TAWAU: Projek menaik taraf Hospital Tawau akan siap hujung tahun ini dan setakat 31 Mac, kemajuan telah mencapai 70 peratus.
Timbalan Menteri Kerja Raya Sabah, Arthur Joseph Kurup berkata, kontraktor perlu mencapai sasaran kemajuan kerja ditetapkan, iaitu kira-kira empat peratus setiap bulan.
“Sasaran itu berdasarkan perbincangan dengan kontraktor dan langkah pemantauan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan kemajuan kerja mengikut jadual ditetapkan,” katanya ketika meninjau projek itu, kelmarin.
Tambah beliau, JKR memantau rapi pelan mitigasi dan kemajuan kerja kontraktor. Selain itu, prestasi kontraktor juga dinilai mengikut laporan kemajuan kerja mingguan yang perlu dihantar.
Sekiranya berlaku kelewatan, JKR jtidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan amaran kepada kontraktor.
Projek menaik taraf hospital itu bermula pada 2017 dan dijadualkan siap pada 2020 dengan kos kira-kira RM210 juta, namun projek itu tertangguh berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 serta masalah struktur tanah.
Sehubungan itu, JKR membenarkan Extension of Time (EOT) kepada kontraktor untuk menyiapkan projek tersebut.
“Bangunan hospital baharu itu akan menempatkan 154 katil, menjadikan jumlah katil di Hospital Tawau kepada 555, selain kemudahan lain yang disediakan termasuk enam bilik bedah, empat suite endoskopi, 30 unit hemodialisis, serta helipad hospital pertama di Sabah,” ujarnya.
Pihaknya akan memastikan projek itu disiapkan tepat pada masanya kerana ia adalah hasrat kerajaan, untuk menyediakan kemudahan kesihatan terbaik untuk Keluarga Malaysia bagi memenuhi harapan rakyat.
Sementara itu, penaiktarafan itu akan menjadikan Hospital Tawau sebagai hospital terbesar di Pantai Timur Sabah dan hospital rujukan bagi daerah sekitarnya. – BERNAMA