PUTRAJAYA: Sistem e-testing ini akan mengukur prestasi calon melalui ujian pemanduan elektronik dan menjana keputusan ujian dalam masa nyata yang akan dilancarkan pada April ini.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Zailani Hashim berkata, sistem e-testing itu kini di peringkat bukti konsep (POC) dan dijangka dilancarkan ketika sambutan JPJ yang ke-76.
Jelas beliau, bilangan penguji akan dikurangkan apabila sistem e-testing dilaksanakan kerana ia dibantu oleh teknologi yang hanya memerlukan dua penguji berbanding tujuh sebelum ini.
“Keputusan ujian akan diketahui serta-merta berbanding dua minggu pada masa ini,” katanya kepada media selepas majlis amanat Tahun Baharu 2022, kelmarin.
Mengulas lanjut, sistem e-testing masih melibatkan pembelajaran kelas, litar dan sesi jalan raya. Tetapi pegawai dan calon tidak akan duduk bersama di dalam kereta semasa sesi litar manakala dua lagi akan kekal tidak berubah.
Beliau menyatakan sistem itu telah diterima pakai di negara seperti Korea Selatan dan Jepun. Dengan itu, Malaysia juga menuju ke arah itu untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan kepercayaan orang ramai terhadap sistem ujian lesen memandu.
JPJ sedang berusaha ke arah pendigitalan lesen kenderaan dan lesen memandu bagi membolehkan perniagaannya dijalankan melalui kaedah hibrid secara berperingkat.
“Ini boleh mengurangkan kesesakan dan pembaharuan tersebut juga boleh dilakukan secara dalam talian pada bila-bila masa,” ujarnya.
Sementara itu, JPJ menyasarkan kutipan hasil tahun ini akan meningkat kepada RM 4.12 bilion berbanding RM 4 bilion tahun lalu dengan usaha pendigitalan.
Tegas beliau, jabatan itu akan menerima sebanyak 100 kiosk tambahan tahun ini untuk ditempatkan di cawangan seluruh negara dan lokasi-lokasi terpilih.
“Dengan adanya kemudahan dan bajet tambahan seperti ini, saya yakin aspirasi JPJ untuk mengutip hasil sebanyak RM 4.12 bilion pada tahun 2022 akan tercapai,” tambahnya lagi,
Zailani berkata, JPJ mengutip RM 7.4 juta daripada diskaun 80% yang ditawarkan bagi semua saman sempena sambutan Aspirasi Keluarga Malaysia, yang dilanjutkan sehingga 31 Disember lepas.