spot_img
HomeJenayahGuna MyKad individu lain, warga asing dipenjara 30 hari | Demi Sabah

Guna MyKad individu lain, warga asing dipenjara 30 hari | Demi Sabah

TAWAU: Seorang wanita warga asing telah dijatuhkan hukuman penjara 30 hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret setelah didapati menggunakan kad pengenalan (MyKad) milik wanita tempatan untuk menaiki pesawat ke Kuala Lumpur.

Majistret Leona Dominic Mojiliu menjatuhkan hukuman tersebut selepas Malyn Julismu, 27, dari Kampung Selamat, Semporna mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut di Balai Berlepas Lapangan Terbang Tawau, pada 27 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga merupakan pemegang Kad Pengenalan Pemastautin Sementara (MyKas) didakwa tanpa kuasa yang sah atau sebab yang munasabah memilik satu kad pengenalan atas nama Norlina Binti Abbai, 28, yang bukan miliknya.

Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25 (1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang boleh dihukum mengikut Peraturan-Peraturan yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Sebelumnya, Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Mohd Naser Mohd Nadzeri dalam hujahnya berkata perbuatan tertuduh memiliki dan menggunakan kad pengenalan orang lain merupakan sebuah kesalahan serius.

“Sekiranya berjaya melepasi sempadan dikhuatiri tertuduh akan terus menyamar dan menggunakan kad pengenalan yang bukan miliknya termasuk untuk bekerja di Semenanjung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman denda minimum dan pengecualian hukuman penjara selain sebab bapanya yang sedang sakit.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda, tertuduh bagaimanapun membayar denda berkenaan. – Berita Harian

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular