KOTA KINABALU: Semua pemimpin Sabah dari parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) mahu menyelesaikan masalah pendatang asing di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri, Jeffrey Kitingan berkata, semua pemimpin dengan kerjasama pihak penguatkuasa mencari jalan penyelesaian yang boleh dilaksanakan bagi masalah itu.
“Sebelum ini, cadangan Kementerian Dalam Negeri untuk mengeluarkan kad warga asing tidak diterima oleh rakyat Sabah,” katanya.
Difahamkan istilah kad warga asing itu disalah tafsir sehingga isitilah ditukar kepada kad pemastautin bukan warganegara. Ianya boleh diterima kerana dapat membezakan pemegang kad ini daripada hak warganegara tulen.
Sementara itu, beliau menyatakan kerajaan GRS-BN kini sedang mempertimbangkan pihak luar untuk mengeluarkan IC Sabah secara pentadbiran.
Rakyat Sabah percaya bahawa pengeluaran kad IC Sabah akan melindungi hak rakyat Sabah, sekali gus mengenal pasti rakyat Sabah tulen dan bukan warga Sabah.
“Saya bersetuju dengan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin bahawa kita memerlukan kemahuan politik untuk menyelesaikan masalah kita, khususnya masalah pendatang asing,” tambahnya.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, isu migran tanpa dokumen Sabah boleh diselesaikan dengan mengeluarkan kad warga asing, tetapi ia memerlukan kelulusan daripada kerajaan negeri.
“Kami dapati ramai ibu bapa dan anak dilahirkan tanpa dokumen, tetapi tinggal di Sabah dalam tempoh yang lama,” jelasnya ketika pelancaran sambutan Pesta Kaamatan.
Dengan itu, pihaknya tidak mahu masalah sosial bertapak di Sabah kerana isu tersebut. – Borneo Post Online