RANAU: Keadaan suhu tinggi dan cuaca kering di daerah ini menjejaskan pendaki Gunung Kinabalu, dengan dua pendaki tempatan mengalami komplikasi, baru-baru ini.
Dalam kejadian 1.36 tengah hari itu, seorang wanita berusia 18 tahun dan lelaki, 19 mengalami kecederaan ketika menuruni Gunung Kinabalu bersama malim gunung mereka.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) bergegas ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan, berikutan kedua mangsa tidak dapat meneruskan pendakian.
“Pasukan MOSAR yang terdiri daripada lima anggota, diketuai Neil Thompson memutuskan untuk menurunkan mangsa dengan menggunakan teknik piggyback ke kawasan Timpohon Gate,” katanya.
Dalam pada itu, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Ranau bagi rawatan lanjut.
Operasi tamat sepenuhnya pada 6.54 petang dan beliau menasihatkan bakal pendaki agar membuat penilaian kesihatan diri sebelum mendaki Gunung Kinabalu.
Tambah beliau, mereka mesti bersedia dari segi mental dan fizikal, serta membawa barangan yang perlu sahaja. – Daily Express