spot_img
HomeSemasaLelaki hilang, ditemukan mati lemas di Beluran

Lelaki hilang, ditemukan mati lemas di Beluran

BELURAN: Seorang lelaki yang dilaporkan lemas selepas cuba menghalau lembu di Sungai Sugut, Kampung Botition, telah ditemukan mati lemas semalam.

Mayat mangsa yang berumur 29 tahun itu ditemukan sekitar jam 11.25 malam, selepas sehari operasi dan mencari (SAR) dilakukan di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Rastam Keladi berkata, pihak mereka menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.19 petang sebelum menghantar anggota mereka bergegas ke lokasi kejadian.

“Seramai empat anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

“Operasi turut dibantu oleh BBP Sandakan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Rastam, sebaik tiba di lokasi kejadian, operasi SAR segera dilakukan sebelum mangsa ditemukan dalam keadaan terapung oleh orang awam di lokasi kejadian.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan manakala mayatnya telah dibawa ke Hospital Beluran untuk tindakan lanjut.

Sebelumnya, mangsa dikatakan bersama sepupunya berumur 34 tahun berenang di sungai berkenaan untuk menghalau lembut.

Bagaimanapun, hanya sepupu mangsa sempat menyelamatkan diri berenang ke tepi sungai sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Nangoh oleh orang awam untuk menerima rawatan.

Mangsa pula dikatakan gagal menyelamatkan diri dan dipercayai lemas sebelum orang awam membuat laporan kepada BBP Beluran.

“Kes tersebut kemudiaannya diserahkan kepada pihak PDRM, manakala operasi ditamatkan sepenuhnya pada 11.50 malam,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular