KOTA KINABALU: Kecekalan seorang pelajar Tingkatan Lima yang sanggup menjual makanan ringan demi membantu menyara keluarga mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Mustapha berkongsi kisah pelajar berusia 17 tahun dari Inanam itu yang ditemuinya ketika sedang menjual kerepek.
Menurut beliau, pelajar berkenaan memaklumkan bapanya telah meninggal dunia, manakala ibunya, Jovina, yang menghidap penyakit sendi sejak 20 tahun lalu kini bergantung kepada kerusi roda.
“Walaupun bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, dia sanggup bekerja bagi membantu meringankan beban keluarganya yang hidup dalam serba kekurangan,” katanya.
Mustapha berkata, keadaan keluarga itu menyentuh hatinya apabila mengetahui mereka tinggal di sebuah rumah kayu usang dan bergelut untuk memenuhi keperluan asas harian.
Beliau berkata, bagi membantu meringankan beban keluarga itu, pelajar berkenaan ditawarkan bekerja secara sambilan menjual Nasi Kuning Tok Mus dengan elaun sekitar RM1,700 sebulan mengikut hasil jualan.
Menurutnya, tawaran itu memberi kelonggaran kepada pelajar tersebut untuk mengutamakan persekolahan dan hanya bekerja pada waktu yang sesuai.
Selain itu, Mustapha turut mendaftarkan pelajar berkenaan mengikuti kelas tuisyen sebagai persediaan menghadapi peperiksaan SPM agar tidak tercicir dalam pelajaran.
“Saya mahu dia terus pergi ke sekolah seperti biasa, menamatkan persekolahan dengan cemerlang dan mengejar cita-citanya, sambil membantu meringankan beban keluarganya,” katanya.
Mustapha berharap bantuan yang diberikan mampu menjadi titik permulaan kepada kehidupan yang lebih baik buat keluarga itu, selain membolehkan pelajar berkenaan terus mengejar impian tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga.


