KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti cadangan untuk membuka akses kepada orang awam bagi sistem MyProjek sebagai langkah meningkatkan ketelusan pelaksanaan projek pembangunan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, cadangan itu akan dipertimbangkan dengan mengambil kira keperluan melindungi maklumat yang diklasifikasikan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin pada persidangan Dewan Rakyat.
Terdahulu, Willie mencadangkan supaya sistem MyProjek bukan sahaja boleh diakses oleh Ahli Parlimen, malah turut dibuka kepada masyarakat umum bagi membolehkan rakyat mendapatkan maklumat projek pembangunan secara terus tanpa perlu bergantung kepada wakil rakyat.
Mengulas cadangan itu, Mustapha berkata kerajaan memahami hasrat untuk meningkatkan keterbukaan maklumat kepada rakyat, namun pelaksanaannya perlu diteliti kerana sistem berkenaan turut mengandungi data yang mempunyai tahap akses berbeza.
“Kita akan mengambil pertimbangan selanjutnya. Kita akan melihat dari segi data yang berperingkat. Mungkin ada maklumat yang boleh didedahkan kepada umum dan ada juga maklumat yang lebih terperinci yang perlu diteliti kesesuaiannya untuk dikongsi kerana ia mungkin menimbulkan isu-isu lain,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan menilai mekanisme terbaik bagi memastikan keseimbangan antara ketelusan maklumat kepada rakyat dan keperluan melindungi data tertentu dalam sistem MyProjek.


