KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah menyatakan kesediaan penuh menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diumumkan hari ini.
Ketua Penerangan BN Sabah, Datuk Suhaimi Hj Nasir berkata, pembubaran tersebut membuka ruang untuk rakyat Sabah menentukan semula masa depan dan hala tuju negeri melalui proses demokrasi.
“BN Sabah memasuki gelanggang PRN17 kali ini dengan keyakinan, pengalaman dan iltizam yang kukuh.
“Kestabilan bukan sekadar slogan, tetapi asas utama bagi memastikan pembangunan negeri dapat diteruskan secara tersusun dan berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Libaran menegaskan, rakyat memerlukan kerajaan yang tenang ketika krisis, tegas ketika diuji, dan sentiasa bekerja demi kepentingan rakyat, bukan kepentingan politik.
Menurutnya, jentera BN di semua kawasan telah bersiap sedia dengan strategi komunikasi yang diperhalus, data akar umbi diperkukuh dan isu rakyat diangkat secara berkesan.
Suhaimi turut menegaskan tiga keutamaan BN Sabah dalam PRN kali ini antaranya;
• Mengembalikan kestabilan dan keyakinan terhadap pentadbiran negeri.
• Memperkukuh hubungan Persekutuan–Negeri agar suara Sabah dihormati.
• Menjana ekonomi rakyat melalui pembangunan luar bandar, peluang pekerjaan dan infrastruktur asas.
“BN bukan parti yang hanya muncul ketika pilihan raya.
“Sejak dahulu, BN telah membina asas kemajuan Sabah dari sekolah dan jalan kampung hingga ke universiti dan pelabuhan.
“Kini, selepas tempoh ketidaktentuan, BN Sabah tampil dengan tekad untuk memulihkan keyakinan dan mengembalikan hala tuju pembangunan negeri,” katanya.
Tambah beliau, BN tidak menjanjikan bulan dan bintang, tetapi menawarkan kestabilan, kerja keras dan kepimpinan berpengalaman yang memahami denyut nadi rakyat.
“Ini masanya untuk Sabah bangkit semula dengan kepimpinan yang tahu apa yang perlu dilakukan dan mempunyai keikhlasan untuk melaksanakannya,” ujarnya. — DEMI SABAH


