spot_img
HomeSemasaBekas pengarah air Sabah miliki dua akaun berisi RM2.6 juta disiasat

Bekas pengarah air Sabah miliki dua akaun berisi RM2.6 juta disiasat

KUALA LUMPUR : Bekas Pengarah Jabatan Air Sabah, Ag Mohd Tahir Mohd Talib, mempunyai akaun bank utama dan akaun pelaburan bulanan di bawah namanya yang berjumlah kira-kira RM2.6 juta dengan OCBC Bank.

Perkara itu dimaklumkan oleh pihak Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu semalam.

Menurut laporan, saksi pendakwaan ke-15 yang juga Ketua Bantuan Pusat Perkhidmatan Operasi OCBC Bank Kota Kinabalu, Robert Yong Jade Kui, mengesahkan jumlah dibawa ke hadapan dalam penyata akaun utama bank itu di bawah nama Ag Mohd Tahir pada Oktober 2016 adalah berjumlah RM1,920,283.22.

Selain itu, Jade Kui turut mengesahkan baki dalam akaun itu pada tarikh penyata Oktober 2016 berjumlah RM1,920,935.59 berdasarkan semakan pada 8 November 2016.

Manakala semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Mahadi Abdul Jumaat, Jade Kui menyatakan, baki dalam akaun pelaburan bulanan OCBC Bank atas nama Ag Mohd Tahir setakat 31 Oktober 2016 adalah berjumlah RM698,064.34 (670,249.01 unit) pada 8 November 2016.

Beliau juga mengesahkan tidak tahu untuk tujuan apa wang itu dimasukkan ke dalam kedua-dua akaun berkenaan.

Namun, apabila dirujuk kepada dokumen Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) notis (Perintah Di Bawah Subseksyen 50(1) dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui DPP ke atas dua akaun bank Ag Mohd Tahir pada 4 November 2016,

Jade Kui berkata, OCBC Bank dimaklumkan mengenai notis itu bahawa DPP mengarahkan SPRM melalui pegawai penyiasat untuk menyita atau merampas sebarang harta alih atau harta tambahan untuk akaun itu dan pihak bank tidak boleh memusnahkan atau mengalihkan harta itu sehingga notis itu dibatalkan.

Perbicaraan membabitkan bekas Pengarah Pengarah Air Sabah, Ag Mohd Tahir, 58 tahun; isterinya, Fauziah Piut, 55 tahun dan bekas timbalan pengarah jabatan itu, Lim Lam Beng, 66 tahun, yang kesemuanya pada 29 Disember 2016 mengaku tidak bersalah atas 37 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan RM61.57 juta.

Sementara itu, menjawab beberapa soalan semasa pemeriksaan balas oleh peguam Marcel Jude mewakili Ag Mohd Tahir, saksi itu berkata, beliau tidak tahu berapa banyak laporan ambang tunai dan laporan transaksi meragukan dibuat bekas Pengarah Jabatan Air Sabah berkenaan kerana beliau tidak mempunyai data.

Saksi juga menjelaskan dalam pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan, bahawa beliau tidak mengetahui tujuan wang dimasukkan kerana bukan pegawai yang bertanggungjawab ketika itu bagi kes berkenaan pada 2016.

Marcel turut mewakili Fauziah, manakala peguam Datuk Tan Hock Chuan, Baldev Singh dan Karpaljit Singh mewakili Lam Beng dan perbicaraan berhubung kes itu bersambung. – BH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular