HomeEkonomiProjek IPD, perumahan polis Nabawan kukuh keupayaan keselamatan, penguatkuasaan

Projek IPD, perumahan polis Nabawan kukuh keupayaan keselamatan, penguatkuasaan

NABAWAN: Projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Perumahan Polis  Nabawan merupakan pelaburan strategik kerajaan dalam memperkukuh keupayaan  keselamatan, penguatkuasaan undang-undang dan penyampaian perkhidmatan  kepada rakyat, khususnya di daerah Nabawan dan kawasan sekitarnya, kata Ketua  Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata, projek itu dengan siling peruntukan sebanyak RM150 juta dijangka  bermula pada Januari 2027.

“Saya mahu projek ini dilaksanakan dengan penuh integriti, mematuhi spesifikasi dan  standard yang ditetapkan serta memberikan manfaat maksimum kepada rakyat dan  warga PDRM.

“Kita bukan sekadar mahu melihat projek ini disiapkan, tetapi mahu memastikan hasil  pembinaannya mampu memberikan manfaat untuk jangka panjang,” katanya pada  majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Ibu Pejabat Polis dan Perumahan Polis Daerah  Nabawan di sini pada Selasa.

Turut hadir, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup,  Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid bin Haji Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri  Datuk Zainudin Aman dan Ketua Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun.

Ketua Menteri berkata pembinaan IPD Nabawan amat penting memandangkan  kedudukan strategik daerah itu yang bersempadan dengan Indonesia, sekali gus  menuntut keupayaan keselamatan lebih mantap bagi menangani ancaman jenayah  rentas sempadan dan kegiatan haram.

Katanya, ancaman berkenaan memerlukan tindakan penguatkuasaan yang bersepadu,  berkesan dan berterusan, termasuk memperkukuh keupayaan Polis Diraja Malaysia  (PDRM) dari segi anggota, infrastruktur, kemudahan operasi serta sistem pentadbiran.

Beliau berkata, Balai Polis Nabawan yang ditubuhkan sejak 1976 kini berada di bawah  pentadbiran IPD Keningau, sedangkan daerah Nabawan mempunyai kawasan  pentadbiran seluas kira-kira 6,089 kilometer persegi.

“Dengan keluasan kawasan pentadbiran ini, keperluan terhadap struktur kepolisan yang  lebih tersusun dan bersesuaian dengan tuntutan keselamatan semasa amat wajar  diberikan perhatian.

“Pembangunan IPD Nabawan merupakan satu langkah penting ke arah memperkukuh  kehadiran dan keupayaan perkhidmatan kepolisan di kawasan ini,” katanya.

Projek ini juga adalah manifestasi keprihatinan kerajaan yang tidak berbelah bahagi  terhadap aspek kebajikan, keselesaan, dan keselamatan anggota pasukan barisan  hadapan, katanya.

“Penyediaan infrastruktur yang kondusif, dan dilengkapi kemudahan teknologi terkini  bukan lagi satu kemewahan, tetapi satu keperluan yang kritikal, khususnya di kawasan  sempadan,” kata beliau.

Hajiji turut menegaskan bahawa keselamatan merupakan antara asas penting kepada  pembangunan negeri kerana pertumbuhan ekonomi yang mampan tidak mungkin dapat  dicapai tanpa persekitaran yang aman, stabil dan selamat.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan terus menyokong usaha memperkukuh  infrastruktur keselamatan di seluruh Sabah, termasuk memastikan rakyat di kawasan  pedalaman seperti Nabawan mendapat perkhidmatan keselamatan yang lebih baik.

Dalam konteks Daerah Nabawan, pembangunan Ibu Pejabat Polis Daerah ini  mempunyai nilai strategik kerana bukan sahaja memenuhi keperluan PDRM, malah  turut berkait rapat dengan keyakinan rakyat terhadap tahap keselamatan di kawasan  mereka, katanya.

“Kita mahu rakyat di Nabawan merasakan bahawa keselamatan, kebajikan dan  kesejahteraan mereka sentiasa diberikan perhatian sewajarnya.

“Pada masa yang sama, kebajikan anggota PDRM juga perlu terus diberikan perhatian.  Mereka berada di barisan hadapan dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam.

“Justeru, penyediaan kemudahan kerja dan perumahan yang baik merupakan antara  aspek penting dalam menyokong kebajikan serta keberkesanan tugas mereka,”  katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular