LAHAD DATU: Dua warga emas cedera selepas terbabit dalam dua kemalangan berasingan di Lahad Datu dan Tenom pagi tadi.
Dalam kejadian awal di Kilometer 12, Jalan Lahad Datu-Felda berhampiran MPOB, seorang wanita berusia 57 tahun cedera selepas kereta Perodua Myvi yang dinaikinya bertembung dengan sebuah Proton Saga.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, PBK II Oma Tome, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.45 pagi sebelum bergegas ke lokasi bersama sembilan anggota dan sebuah jentera.

“Seorang mangsa wanita dari kereta Myvi mengalami kecederaan dan berjaya dikeluarkan dan diberi rawatan awal serta diserahkan kepada pasukan ambulans untuk tindakan lanjut.
“Penumpang Proton Saga pula tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Jalan Tenom-Kemabong, Kampung Mensasoh, lelaki berusia 68 tahun cedera selepas kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipandunya terbabas sendiri di bahu jalan.
Komander Operasi BBP Tenom, PBK I MC Lean C Madis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.43 pagi dan tiba di lokasi 13 minit kemudian.

“Mangsa didapati tersepit di tempat duduk pemandu dan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan penyelamatan khas sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut,” jelasnya.
Kedua-dua operasi disertai anggota bomba bersama pasukan perubatan KKM serta polis dan ditamatkan selepas kawasan kejadian dipastikan selamat. — DEMI SABAH


