PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama PETRONAS hari ini melancarkan Kempen Jalur Gemilang Kluster Industri sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerjasama strategik itu membuktikan komitmen industri untuk sama-sama menjayakan agenda nasional, khususnya memperkukuh semangat patriotisme serta pemerkasaan produk tempatan.

“KPDN amat menghargai komitmen tinggi PETRONAS dalam mendukung agenda memajukan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui penjualan produk keluaran tempatan di lebih 850 premis Kedai Mesra seluruh negara termasuk 50 Kedai Mesra di Sabah,” katanya.
Majlis pelancaran kempen berkenaan berlangsung di Stesen Minyak PETRONAS Papar, Sabah, melibatkan kesemua 4,320 stesen minyak di seluruh negara.
Ia juga sebahagian daripada inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) yang diselaraskan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), melibatkan tujuh kluster utama iaitu pendidikan, pendidikan tinggi, kesihatan, keselamatan, komuniti, industri dan agensi kerajaan.
Pada masa yang sama, PETRONAS turut melaksanakan Kempen Love Local bermula 25 Ogos hingga 30 September 2025, sebagai sokongan kepada Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang digerakkan KPDN.
Melalui inisiatif itu, produk PMKS tempatan akan dipamerkan di rak khas Kedai Mesra PETRONAS yang ditandakan logo KBBM, sekali gus meningkatkan akses dan promosi kepada pelanggan.
Setakat ini, Kedai Mesra PETRONAS menampilkan 1,842 pembekal produk tempatan, dengan hasil jualan yang terus mencatat momentum peningkatan melebihi RM150 juta dari tahun ke tahun. — DEMI SABAH


