spot_img
HomeSemasaDisangka hilang di hutan, rupanya hilangkan diri enggan diganggu

Disangka hilang di hutan, rupanya hilangkan diri enggan diganggu

BELURAN: Lelaki yang dilaporkan hilang sejak 18 Ogos lalu disahkan berada dalam keadaan selamat, namun memilih untuk tidak ditemui sesiapa.

‘Mangsa’, Jusli bin Kiple, 48, pada awalnya disangka hilang di hutan berhampiran kebunnya di Kampung Bukit Besi selepas keluar seawal jam 6 pagi tetapi tidak pulang ke rumah.

Kehilangan itu mencetuskan kebimbangan sehingga isterinya membuat laporan pada 20 Ogos lalu, sekaligus menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) berskala besar melibatkan Bomba Beluran, PDRM, APM, APMM dan lebih 30 penduduk kampung.

Namun, selepas empat hari pencarian tanpa hasil, keadaan berubah apabila isterinya menerima panggilan telefon daripada Jusli sendiri pada jam 11.59 pagi tadi.

“Dalam perbualan ringkas itu, mangsa memberitahu bahawa dia berada dalam keadaan selamat tetapi tidak mahu ditemui buat masa ini.

“Susulan perkembangan mengejut itu, PDRM Beluran menangguhkan operasi SAR pada jam 1 tengah hari.

“Polis turut memberikan tempoh 24 jam kepada isteri mangsa untuk hadir bersama suaminya ke balai bagi menarik balik laporan kehilangan yang dibuat sebelum ini,” katanya.

Komander Operasi, PB Saifuddin bin Saridin, berkata operasi SAR yang bermula sejak 20 Ogos ditamatkan jam 1 petang.

Insiden tersebut menjadi bualan masyarakat setempat memandangkan kehilangan mangsa telah mencetuskan gerakan mencari besar-besaran di kawasan hutan kampung berkenaan sejak empat hari lalu. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular