BELURAN: Dua orang lelaki tempatan ditahan dalam serbuan yang dilakukan oleh penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah setelah disyaki cuba menyeleweng mintak diesel bersubsidi, di Kampung Iran, Beluran, semalam.
Menurut Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata tangkapan dilakukan sekitar jam 2.33 petang semalam setelah melakukan risikan selama tiga hari.
Menurut Georgie, pasukan serbuan telah merampas sebanyak 15,000 liter minyak diesel yang disimpan di lori tangka dan tong minyak dalam serbuan tersebut.
“Dua lelaki tempatan yang dipercayai penjaga stor dan pemandu lori di lokasi serbuan turut ditahan untuk diambil keterangan.
“Hasil keterangan awal, kedua-dua suspek gagal memberikan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan itu, alat-alat yang disyaki digunakan untuk menyeleweng iaitu dua buah lori, pam elektronik dan hos dengan anggaran keseluruhan berjumlah RM159,500 turut dirampas.
Siasatan lanjut juga mendapati minyak berkenaan dipercayai untuk dijual kepada pihak industri.
“Kesemua barangan dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – Utusan Borneo