SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee meluahkan rasa kesal berhubung insiden pasukan wanita beliau yang menggunakan petak parkir orang kurang upaya (OKU) di Pasar Kim Fung pagi tadi.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Vivian memaklumkan tindakan itu berlaku ketika pasukan terbabit sedang memunggah meja dan kerusi bagi pusat khidmat bergerak mereka.
Beliau bagaimanapun menegaskan, kesuntukan masa tidak boleh dijadikan alasan untuk menggunakan ruang parkir yang dikhaskan kepada golongan memerlukan.
“Tiada alasan yang dapat membenarkan tindakan tersebut kerana parkir OKU adalah hak dan keutamaan untuk mereka yang memerlukan.
“Tiada sesiapa yang terkecuali daripada undang-undang,” katanya.
Vivian turut memaklumkan pasukan wanita berkenaan telah memohon maaf secara terbuka kepada warga Sandakan susulan insiden itu, sambil menegaskan pihaknya akan lebih berhati-hati bagi mengelakkan kejadian serupa berulang. — DEMI SABAH


