KUNAK: Dato Sri Dr Anil Sandhu, Exco Pemuda Barisan Nasional Malaysia berkata, sebagai anak jati Sabah yang mendambakan kestabilan dan keharmonian, beliau menyeru seluruh rakyat Sabah agar mengutamakan keamanan dan mengelakkan tindakan yang boleh menggugat keharmonian negeri Sabah.
“Budaya berhimpun ini bukanlah sebahagian daripada norma masyarakat kita. Jangan kita meniru amalan negara-negara lain seperti yang berlaku di Bangladesh, yang akhirnya merugikan semua pihak”
“Jika ada sebarang ketidakpuasan, terdapat saluran yang lebih wajar dan berhemah untuk meluahkan pandangan tanpa perlu melakukan perhimpunan,” katanya.
Tambah beliau, kesan negatif daripada tindakan sedemikian perlu difikirkan dengan mendalam.
“Tidak kira siapa penganjurnya, saya menyeru agar perhimpunan ini dibatalkan demi kebaikan bersama,” jelasnya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Lahad Datu berkata, kepada golongan mahasiswa, tumpukan perhatian sepenuhnya kepada pelajaran.
“Ini adalah masa untuk membina ilmu, bukan terlibat dalam urusan pentadbiran negeri atau politik”
“InsyaAllah, apabila tiba masanya, selepas mencapai kematangan dan memiliki kerjaya yang kukuh, barulah anda boleh menyumbang dalam arena politik dengan lebih bermakna,” tambahnya.
Anil juga menyeru pihak berkuasa, terutamanya pasukan polis, agar mengambil langkah tegas menilai segala risiko yang mungkin timbul dan sedaya upaya menghalang perhimpunan seperti ini.
“Kita tidak mahu budaya ini menjadi ikutan yang boleh menggugat keharmonian negeri tercinta kita. Marilah kita bersama-sama menjaga keamanan Sabah demi masa depan yang lebih baik,” katanya.