Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah memberikan pengurangan yuran sebanyak 20 peratus selaras dengan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Mohd. Alizwan Mohammad Asyri, Exco Kebajikan dan Khidmat Mahasiswa, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) berkata, pengurangan yuran sebanyak 20 peratus oleh KPT adalah inisiatif yang sangat baik kerana ia dapat membantu serta meringankan beban mahasiswa terutama begi golongan B40. Memandangkan pembelajaran pada ketika ini masih secara terbuka dan jarak jauh (ODL), ia akan memudahkan pelajar untuk beradabtasi serta mengurangkan beban keluarga mahasiswa itu sendiri.
“Selaku Exco Kebajikan dan Khidmat Mahasiswa (MPP), saya berharap agar pihak KPT dan pihak Pengurusan UMS terus cakna dengan kebajikan pelajar terutama dari aspek perkhidmatan, bantuan sokongan seperti peranti siswa, pelan data serta bantuan perkhidmatan psikologi kerana kesihatan mental pelajar juga menjadi aspek utama yang perlu diberi perhatian.”
Berikutan penularan COVID-19, Muhammad Nur Hilmi Hermanto, Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae (KKTPAR) berkata, pengurangan yuran 20 peratus amatlah baik dan wajar dilakukan berikutan dengan keadaan semasa di mana kebanyakan pelajar mengalami masalah kewangan meskipun mereka telah menerima tajaan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN) atau biasiswa.

“Kita tidak tahu keadaan sebenar setiap pelajar kerana terdapat segelintir daripada mereka merupakan tulang belakang keluarga terutama bagi pelajar yang mempunyai komitmen di rumah dan tidak kembali ke kampus dalam jangka masa yang panjang.”
“Berdasarkan pengurangan sebanyak 20 peratus daripada yuran pengajian tersebut jelas membuktikan bahawa pihak KPT sangat prihatin dengan keadaan pelajar di seluruh Malaysia berikutan pandemik COVID-19.”
“Selaku JAKMAS bagi kediaman KKTPAR, sudah semestinya saya ingin melihat kebajikan para pelajar khususnya di kolej kediaman adalah terjaga. Namun, semua itu tidak akan berhasil tanpa ada bantuan dan sokongan daripada semua pihak khususnya KPT dan universiti”, katanya.
Menurut Mohd Gaddafi Imran, pelajar tahun dua bidang pengajian Sosiologi dan Antropoligi Sosial (ANSOS) bahawa pengurangan yuran pengajian memudahkan pelajar khususnya pelajar kemasukan Semester 1 Sesi 2021/2022. Pelajar memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi sebagai persediaan memasuki alam universiti.
“Pengurangan ini juga dapat melegakan kegelisahan ibu bapa dan penjaga yang terkesan dengan pengurangan bayaran gaji, hilang pendapatan sehingga ada yang kehilangan kerja akibat penularan wabak COVID-19. Dengan adanya pengurangan yuran pengajian pelajar sebanyak 20 peratus, ia telah memberikan manfaat terutama kepada yang benar-benar memerlukan”, katanya.