KUALA LUMPUR : Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Kabinet bagi menangani isu kenaikan harga barang.
Menurut beliau, MPN ketika ini telah menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas berkaitan isu tenaga kerja bagi menangani isu kenaikan harga barang.
“Jawatankuasa Tindakan Khas tersebut diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia dan dianggotai pelbagai agensi berkenaan yang akan membentangkan laporan dan cadangan penyelesaian kepada MPN dalam mesyuarat yang akan datang,” katanya.
Muhyiddin juga berpandangan sebuah Jawatankuasa Kabinet wajar ditubuhkan untuk menangani isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
“Ini bagi membantu meringankan beban rakyat pada waktu yang sukar ini,” tambahnya.
Muhyiddin berkata, Perikatan Nasional akan menganjurkan Gerai Prihatin Rakyat yang akan menjual barangan keperluan harian pada yang harga murah di seluruh negara.
“Tanggungjawab untuk mengetuai jawatankuasa di peringkat nasional bagi anjuran Gerai Prihatin Rakyat tersebut diberikan kepada Datuk Seri Ronald Kiandee, Ahli Majlis Tertinggi PN dan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga merupakan Menteri Pertanian dan Industri Makanan,” ujarnya.
MPN juga menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas berkaitan isu kekangan aliran tunai dan pembiayaan bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Penubuhan tersebut adalah untuk mencari penyelesaian segera berhubung isu kecairan yang dihadapi PMKS dalam tempoh pemulihan ini.
Langkah ini juga dijangka dapat membantu PMKS memulakan perniagaan atau operasi dengan segera sekali gus meningkatkan keupayaan penawaran.
Muhyiddin berharap agensi penguat kuasa akan terus melipatgandakan usaha penguatkuasaan bagi memastikan pengeluar, pembekal dan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga pada kadar yang tidak munasabah.
“Tindakan undang-undang yang tegas juga mesti diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 ke atas mereka yang ingkar,” tegasnya lagi.