KUNAK: Satu notis arahan mengosongkan Kedai Papan Sementara yang disusuli dengan tindakan sitaan telah dikeluarkan oleh Majlis Daerah Kunak ke atas penyewa asal, selaras dengan keputusan Mesyuarat Penuh Majlis Daerah Kunak yang telah berlangsung pada 28 Oktober 2021.
Notis tersebut menyatakan bahawa penyewa asal perlu mengosongkan bangunan tersebut dalam tempoh 3 bulan bermula tarikh notis dikeluarkan iaitu pada 2 November 2021 untuk tujuan pembinaan bangunan baharu dan kerja-kerja perobohan oleh pihak Majlis.
Kegagalan penyewa berbuat demikian membolehkan pihak Majlis mengambil tindakan sitaan terhadap barang niaga yang tidak dialihkan dalam tempoh notis dikeluarkan. Hal tersebut menyebabkan timbul rasa ketidakpuasan hati masyarakat setempat.
Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh yang juga anak jati Kunak berkata, adalah lebih baik sekiranya Bangunan Kedai Papan tersebut tidak dirobohkan dengan kadar segera.
“Terdapat sebuah bangunan yang akan dibina berhampiran padang Kunak dan beliau memberikan cadangan agar proses membina bangunan tersebut disegerakan dalam 10 hingga 15 peratus pembinaan iaitu kira-kira mengambil tempoh selama 6 hingga 7 bulan”
“Dalam waktu yang sama para peniaga di Kedai Papan boleh berpindah ke bangunan baharu tersebut untuk mencari rezeki di mana-mana tapak yang mereka kehendaki,” katanya.
![](https://demisabah.com/wp-content/uploads/2021/12/262472283_107606535094231_502308215892605843_n.jpg)
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Lahad Datu itu berkata lagi, sekiranya bangunan yang berhampiran padang Kunak juga sudah siap 100 peratus ianya boleh dijual atau disewa dengan kadar harga yang berpatutan selaras dengan apa yang telah dipersetujui daripada perjanjian antara Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Majlis Daerah Kunak dan Pemaju.
“Pihak konsesi juga boleh mula melakukan kerja pembangunan di bahagian tapak bangunan padang dahulu sebelum ke kedai papan sementara, hal ini bolehlah menyenangkan hati para peniaga kerana di satu sudut mereka ada tempat yang baharu,” tambahnya lagi.
Beliau juga berharap agar mengutamakan warga Kunak sebelum menjual tanah tersebut kepada syarikat-syarikat, bimbang sekiranya tanah dimonopoli oleh orang luar. Perlu utamakan masyarakat Kunak terlebih dahulu.