PUTATAN: Ketua Bahagian UMNO Putatan, Jeffery Nor Mohamed menempelak Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berkenaan isu notis had penyewaan 10 tahun yang dikeluarkan, pada isnin.
Jeffery Nor menyifatkan LPPB sangat tergesa-gesa dan tidak berperikemanusiaan terhadap penyewa-penyewa.
Dalam notis bertarikh 19 Jun 2023 menyatakan, penyewa yang telah mencapai had tempoh penyewaan 10 tahun, dikehendaki mencari tempat tinggal lain dan tunggakan sewa perlu diselesaikan, jika tidak akan disenarai hitam.
“Memang tidak dinafikan garis panduan telah menyatakan bahawa tempoh sewa maksimum adalah 10 tahun”
“Namun begitu, garis panduan juga menyatakan bahawa penyewaan masih boleh diteruskan dengan syarat penyewa perlu mendapatkan kelulusan dari Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah,” katanya.
Tambah Jeffery, dengan ini penyewa masih boleh meneruskan penyewaan rumah tersebut.
“Mengapa LPPB terlalu tergesa-gesa untuk mengusir penyewa-penyewa tanpa memberi sebarang penjelasan bahawa sewaan boleh dilanjutkan?
“Masa ini amat tidak sesuai kerana situasi sosio ekonomi rakyat dalam keadaan yang amat memerlukan sokongan dari kerajaan negeri yang memerintah sekarang,” jelasnya.
Beliau berpendapat, isu penyewa harus membayar tunggakan dalam masa 3 bulan adalah tindakan yang sangat tidak prihatin oleh LPPB.
“Sudahlah mereka harus mengeluarkan modal untuk mencari rumah sewa serta mengatur pemindahan barang rumah, kamu mahu lagi memaksa mereka untuk mengeluarkan perbelanjaan lebih untuk menyelesaikan hutang?
“Bukankah tujuan PPR ini untuk membantu golongan miskin?,” tegasnya.
Ketua UMNO Bahagian Putatan itu membantah sekerasnya tindakan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) dan fahami tujuan asal penubuhan LPPB.
“Sekiranya jumlah rumah PPR berkurangan manakala permintaan meningkat, maka solusi bukannya mengusir, tetapi membina lebih banyak rumah PPR untuk menampung permintaan yang tinggi”
“Kerajaan yang berjaya adalah kerajaan yang perihatin terhadap rakyat. Kegagalan untuk mengikuti falsafah ini hanya menunjukkan tindakan kurang bijak kerajaan yang sedia ada untuk menjamin kebajikan rakyat Sabah terpelihara,” katanya.