SEMPORNA: Tiga sekeluarga termasuk seorang bayi perempuan maut apabila kereta mereka terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan lain di Km 12 Jalan Tagasan, kelmarin.
Ketua Polis Semporna, Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kenderaan yang terlibat dalam kejadian sekitar 4.30 petang itu ialah Perodua Kancil, Ford Ranger dan lori 20 tan.
Jelas beliau, kemalangan itu berlaku apabila pacuan empat roda, Ford Ranger melanggar kereta Perodua Kancil pada bahagian belakang, dari arah Kampung Lihak menuju ke Kampung Salimbangun.
“Akibat rempuhan itu, kereta Perodua Kancil dipandu lelaki berusia 30 tahun itu terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh lori,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, kemalangan tersebut mengorbankan tiga penumpang kereta Perodua Kancil itu iaitu isteri pemandu, 30, bayi perempuan berusia 10 bulan dan anak saudaranya, 13.
“Isteri pemandu dan bayi mereka meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak saudaranya disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Semporna,” tambahnya lagi.
Sementara itu, pemandu Ford Ranger, 27 dan pemandu lori, 32, terselamat tanpa kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


