spot_img
HomeSemasaSeramai 237 PATI Indonesia diusir keluar dari Sabah

Seramai 237 PATI Indonesia diusir keluar dari Sabah

Kota Kinabalu: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah bertindak meneruskan proses pengusiran pendatang asing tanpa izin (PATI) setelah penghantaran pulang tertangguh beberapa kali akibat pandemik Covid-19.

Pengarahnya, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, semalam, seramai 237 orang PATI warga Indonesia diusir keluar daripada Sabah menerusi Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.

Difahamkan kesemua PATI itu ditahan di Depoh Imigresen Tawau sejak 2020 setelah banyak kali tertangguh kerana negara-negara asal tahanan memberi alasan sedang berhadapan dengan ancaman pandemik Covid-19.

Beliau berkata, kesemua PATI yang diusir keluar itu telah selesai menjalani hukuman bagi pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kesemua PATI yang dimasukkan ke Depoh Tahanan Imigresen (DTI) telah melalui proses tapisan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan Covid-19 dan proses pengasingan bagi suatu tempoh yang ditetapkan bagi mengelak berlaku penularan jangkitan di dalam depoh tahanan”

“Sebahagian besar tahanan juga telah menerima vaksin lengkap dan dos penggalak”

Tahun ini, Jabatan Imigresen Sabah telah mengusir seramai 78 orang PATI pelbagai warganegara melalui udara yang melibatkan seramai 42 PATI warga Filipina, seorang warga Indonesia dan 35 orang dari lain-lain negara.

Pada masa sama, seramai 2,000 senarai nama tahanan warga Filipina dikemukakan kepada pihak Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur bagi tujuan penghantaran pulang ke negara asal susulan penghantaran PATI warga Filipina tertangguh sejak bulan Jun tahun lalu.

“Sehingga kini, kita dimaklumkan, pihak Kedutaan Filipina masih menunggu peruntukan daripada kerajaan Filipina bagi membiayai kos ujian Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) bagi setiap tahanan agar penyelarasan bagi penghantaran pulang tahanan dapat dilakukan segera.”

“Susulan itu, kita mengesyorkan pihak kedutaan agar keluarga tahanan atau tahanan itu sendiri hendaklah dibenarkan untuk menanggung kos ujian RT-PCR mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Sitti Saleha, tahanan juga perlu dibenarkan menanggung kos pembelian tiket pulang melalui udara tanpa menunggu tiket yang dikeluarkan oleh pihak kedutaan.

Tindakan ini dapat memastikan proses penghantaran pulang tahanan warganegara Filipina berjalan lancar dan tahanan berkenaan tidak perlu berada lama dalam depoh tahanan.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular