spot_img
HomeJenayahTiga PATI pengikut ajaran sesat Wali Tujuh ditahan

Tiga PATI pengikut ajaran sesat Wali Tujuh ditahan

KINABATANGAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) telah menahan tiga lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai terlibat dengan ajaran sesat dan ilmu kebal “Wali Tujuh” di Ladang Bukit Kertam, semalam.

Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Hamzah Ahmad, berkata ketiga-tiga lelaki tersebut telah ditahan dalam satu serbuan yang dilakukan di sebuah rumah pekerja Ladang Bukit Kertam, Kinabatangan, semalam.

Menurut Hamzah, ketika serbuan dilakukan beberapa barang peribadi milik salah seorang individu yang dipercayai ada kaitan dengan ajaran sesat dan ilmu kebal telah dirampas dalam serbuan yang dilakukan.

“Pemeriksaan awal mendapati ketiga-tiga suspek yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,”

“Siasatan lanjut turut mendapati kumpulan itu diketuai oleh seorang guru dengan yang dibantu oleh dua individu serta mempunyai seramai 20 pengikut yang terdiri daripada pekerja ladang warga asing di sekitar Kinabatangan dan Lahad Datu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beberapa barang peribadi milik salah seorang suspek yang terlibat seperti kalender putikaan, pisau, senjata jenis lastik dan pelbagai jenis tangkal turut dirampas.

Hamzah berkata, kesemua Suspek kini ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan untuk tindakan lanjut, dan kes akan dirujuk ke Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Susulan itu, ESSCOM menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan mana-mana ajaran baharu yang boleh menimbulkan ketidakharmonian dan menyesatkan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang berniat menggugat ketenteraman awam dan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE),” katanya. – Utusan Borneo

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular