KUALA LUMPUR : Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan hujan berterusan di timur Sabah serta tengah dan barat Sarawak dalam tempoh 5 hingga 7 Febuari ini.
Ramalan tersebut berdasarkan analisis kaji cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia bersama dengan Pusat Ramalan Cuaca Julat Sederhana Eropah (ECMWF) dan Sistem Ramalan Global (GFS) yang menunjukkan luruan angin timuran berlaku di rantau negara hingga 9 Febuari depan.
MetMalaysia turut meramalkan cuaca lembab dan hujan di beberapa daerah pesisiran negeri pantai timur Semenanjung iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang pada sebelah pagi.
Manakala di negeri pantai barat Semenanjung pula seperti Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka dijangka mengalami ribut petir pada sebelah petang.
Negeri di utara Semenanjung pula diramalkan mengalami cuaca panas dan hujan yang kurang.
Amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama juga telah dikeluarkan bagi perairan Laut China Selatan dan Laut Sulu berkuat kuasa hingga 7 Febuari depan.
MetMalaysia juga menasihatkan orang awam untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.