spot_img
HomeSemasaTiga beradik rentung dalam kebakaran

Tiga beradik rentung dalam kebakaran

Lawas: Tiga beradik ditemui rentung manakala enam lagi selamat dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Seberang Kedai, Lawas, malam tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Tujuh Limbang, Awangku Mohd Hazmin Awang Zainal berkata, kebakaran tersebut berlaku sekitar jam 10.50 malam melibatkan sebuah keluarga dengan sembilan orang penghuni mendiami rumah berkenaan.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 11.02 malam sebelum mengarahkan sebuah jentera, ambulans EMRS dan tangki air bergerak ke lokasi kejadian bersama kekuatan tujuh anggota.

“Tiba di lokasi yang berjarak 17 kilometer, pasukan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kediaman jenis struktur separuh kekal dua tingkat.

Tragedi malam itu dilaporkan telah mengorbankan tiga adik beradik iaitu Mohamad Hesdi Huzaidi Azrie, 4, Mohamad Hezmi Huzaili Azrie, 7, dan Mohd Hezry Huzaimi Azrie, 8 tahun.

Bagaimanapun, tambahnya, enam lagi ahli keluarga berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran itu.

“Enam selamat, manakala tiga adik beradik lelaki berusia empat, tujuh dan lapan tahun didapati rentung dan dijumpai oleh pasukan Bomba di tingkat bawah rumah tersebut ketika operasi memadam dilakukan,” jelasnya.

“Api berjaya dikawal pada jam 11.37 malam dan padam sepenuhnya pada jam 12.45 tengah malam,” tambahnya lagi.

Sementara itu, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pasukan forensik bomba, manakala mayat ketiga mangsa telah diserahkan kepada polis pada jam 12.50 tengah malam untuk tindakan selanjutnya.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular