KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa mempertimbangkan untuk membenarkan sekolah masing-masing membuat keputusan sendiri sama ada mengadakan kelas fizikal atau pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berkata, kementerian perlu membenarkan pengetua sekolah bersama pihak berkepentingan dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) membuat keputusan sendiri bagi setiap sekolah.
“Kebanyakan sekolah di sini menghadapi peratusan kehadiran pelajar yang sangat rendah, malah terdapat kelas memiliki seorang pelajar sahaja mengikuti kelas fizikal,” katanya.
Jelas beliau, 82% kluster berasal dari sekolah dan jika dibandingkan dengan kadar vaksinasi kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun di Sabah adalah kurang daripada 10%, data ini menyebabkan ramai ibu bapa bimbang tentang risiko anak-anak mereka.
“Lebih separuh daripada murid sekolah di Sabah kekurangan akses internet dan peranti untuk pembelajaran di rumah, dan kemungkinan kementerian bertegas mengadakan kelas fizikal kerana mereka bimbang tentang potensi keciciran, terutama di kawasan luar bandar,” tambahnya.
Chan juga mencadangkan semua murid harus dilindungi dengan vaksin terlebih dahulu sebelum memulakan semula kelas fizikal sepenuhnya, jika tidak, isu penyebaran virus yang sama dan penutupan sekolah akan berulang.


