spot_img
HomeSemasaTiada masalah gubal undang-undang berkaitan kesihatan

Tiada masalah gubal undang-undang berkaitan kesihatan

 

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak mempunyai masalah untuk membincangkan isu-isu seperti usul menggubal undang-undang berkaitan kesihatan seperti mana yang dicadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang sekiranya ia untuk kepentingan rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, ia bagaimanapun terpulang kepada Speaker Dewan Undangan Negeri untuk menerima usul itu.

“Kita akan melihat apa yang terbaik untuk Sabah, kita tidak mempunyai masalah untuk membincangkan dan melaksanakan apa yang sepatutnya dan baik kepada rakyat negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan pelancaran Projek Sky Bridge di sini, hari ini.

Hajiji berkata demikian ketika memberi maklum balas terhadap usul yang diutarakan oleh ADUN Kadamaian Datuk Ewon Benedict dan ADUN Luyang Phoong Jin Zhe mengenai perkara berkenaan.

Menurut mereka, Kerajaan Sabah hari ini perlu membuat keputusan utama bagi memperkasakan sistem kesihatan negeri ketika tempoh pandemik COVID-19 tanpa hanya mengharapkan Kerajaan Pusat.

Ia juga selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai rakan setaraf dengan Persekutuan Malaysia.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, beliau akan berjumpa dengan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang dijangka akan melawat Sabah pada Isnin depan.

Katanya, antara agenda yang akan dibincangkan adalah kesesakan pesakit di hospital disebabkan jumlah mangsa COVID-19 yang tinggi berbanding wad yang sedia ada.

Selain itu, Hajiji berkata kerajaan negeri akan mempertimbangkan penggunaan hospital sementara yang diwujudkan pihak tentera di sini.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan apa juga bentuk bantuan yang diberikan dari pihak tentera.

Berkaitan dengan keadaan banjir di beberapa kawasan negeri ini, Hajiji berkata semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang diketuai Pegawai Daerah kawasan terbabit telah diaktifkan.-utusan borneo

 

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular