BERA: Melihat kepada jumlah kes harian covid-19 kebelakangan ini, kerajaan memberi jaminan tidak akan melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan untuk pulang ke kampung bagi sambutan Aidilfitri tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sektor ekonomi dan sosial serta pergerakan merentas negeri sudah kembali dibenarkan seperti biasa dan sekiranya berlaku peningkatan kes di suatu kawasan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar akan dilakukan di kawasan terbabit sahaja.
Beliau berkata walaupun penularan COVID-19 dan peningkatan kes yang membabitkan varian Omicron masih direkodkan dalam negara, ia tidak bermakna penutupan sepenuhnya aktiviti rentas negeri dan daerah akan dilakukan kerajaan.
“Pengumuman berkenaan perkara itu oleh pihak kerajaan sudah dibuat sebelum ini dan pelaksanaan PKPD hanya akan dilakukan di kawasan yang merekodkan peningkatan kes positif COVID-19 yang membimbangkan”. katanya
Perdana Menteri juga menegaskan bahawa sempadan negeri dan daerah tidak akan ditutup serta perlaksanaan PKP seluruh negara tidak akan dikuatkuasakan.
Sektor ekonomi juga dibuka seperti biasa dan jaminan untuk meneruskan sektor perniagaan sekaligus memberi kebebasan bagi pergerakan rakyat seperti biasa sudah dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan tertutup bersama petugas KEMAS Daerah Bera di sini, hari ini.
Walaubagaimanapun, sekiranya peningkatan kes berlaku, sebarang keputusan untuk melaksanakan PKPD akan dibuat selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).
Dengan itu, Perdana Menteri menasihatkan masyarakat agar tidak terlalu bimbang dan tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan perkara yang belum pasti. Kerajaan akan memastikan masyarakat boleh kembali ke kampung halaman untuk menyambut perayaan bersama keluarga seperti sebelumnya.


