TAWAU: Gerakan keluar beramai-ramai atau hartal doktor kontrak tidak berlaku dalam kalangan petugas perubatan di Hospital Tawau.
Terdahulu, melalui surat Hartal Doktor Kontrak yang tular sebelum ini, turut menyenaraikan doktor kontrak di Hospital Tawau akan terlibat dalam hartal pagi ini.
Tinjauan Utusan Borneo sehingga jam 12 tengah hari tadi, Hospital Tawau beroperasi seperti biasa dan tidak ada berlaku gerakan keluar beramai-ramai atau hartal oleh doktor kontrak di sini.
Pegawai Perubatan kontrak, Abraham Hsieh Lih Xian ketika ditemui berkata dia tidak menerima maklumat jelas mengenai gerakan hartal yang difahamkan berlaku hari ini.
“Saya hanya tahu setelah tular di media sosial dan ianya tidak melibatkan semua doktor kontrak di Malaysia.
“Sehingga hari ini, saya tidak ada mendengar doktor kontrak di Hospital Tawau yang terlibat dengan gerakan hartal hari ini seperti yang dinyatakan dalam surat tular tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, semua doktor kontrak di Hospital Tawau masih bekerja merawat pesakit ketika ini.
“Kami hanya fokus menjalankan amanah yang ditugaskan dan tidak sekali-kali mengabaikan pesakit semata-mata mahu mengikuti gerakan hartal,” katanya.
Beliau berkata, secara peribadi gerakan hartal ini tidak wajar dilakukan pada masa ini, lebih-lebih lagi pandemik COVID-19 masih belum terkawal sepenuhnya.
“Dengan jumlah pesakit yang ramai terutamanya yang disahkan positif COVID-19 di negara kita, tenaga doktor sangat diperlukan.
Bagaimanapun, sebagai negara yang demokrasi, semua individu boleh menyatakan pendapat tersendiri dan menuntut hak masing-masing selagi tidak mendatangkan mudarat kepada orang ramai, “ katanya.
Abraham yakin pihak kerajaan tidak akan mengabaikan nasib semua doktor kontrak yang turut bersama-sama membantu menangani kes COVID-19 di negara ini.
“Saya berharap pihak kerajaan akan mengambil satu pendekatan dan tindakan yang adil untuk semua doktor kontrak pada masa akan datang,” katanya.-utusan borneo