PENAMPANG: Seorang lelaki warga emas berusia 97 tahun dilaporkan masih hilang selepas sebuah rumah dua tingkat tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Sarapung, Penampang petang semalam.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut jam 6.10 petang.
Komander Operasi PBK I Callixtus Fedilis berkata, pasukan bomba yang terdiri daripada empat anggota termasuk seorang anggota EMRS, dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 6 kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi, kami dapati sebuah rumah tertimbus akibat tanah runtuh.
“Berdasarkan maklumat awal daripada penduduk, terdapat dua orang mangsa terlibat.
“Seorang mangsa wanita berjaya dikeluarkan oleh orang awam dalam keadaan stabil dan hanya mengalami kecederaan ringan.
“Namun seorang lagi mangsa, seorang lelaki berusia 97 tahun, masih belum ditemui,” katanya.
Menurutnya, pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk sampai ke lokasi disebabkan banyak laluan dinaiki air serta tanah runtuh yang menghalang jalan.
Katanya, anggota terpaksa berjalan kaki sejauh 3 kilometer untuk tiba di lokasi kejadian.
Jelasnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini sedang dijalankan dengan bantuan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penduduk kampung.

Tambah beliau, penggunaan jengkaut telah diminta melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) bagi membantu operasi menggali runtuhan.
“Laluan ke lokasi tidak dapat dilalui oleh kenderaan buat masa ini kerana paras air yang tinggi dan keadaan tanah yang tidak stabil.
“Usaha SAR masih diteruskan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya. — DEMI SABAH