KOTA KINABALU: Polis Sabah menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan taktik penyembunyian dadah dalam kotak santan yang dihantar melalui perkhidmatan kurier dari Semenanjung.
Ketua Polis Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah berkata, polis merampas 9 kilogram syabu dan 1 kilogram ketamin dianggarkan bernilai RM368 000 dalam dua serbuan, serta turut menahan tiga suspek dalang sindiket berusia antara 37 dan 52 tahun bagi membantu siasatan.
Serbuan terbabit dilakukan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Jalan Ranggung Batek, Likas sekitar 2.45 petang pada rabu lalu.
“Hasil pemeriksaan terhadap seorang lelaki berusia 37 tahun, pasukan polis menemui satu kotak mengandungi tujuh bungkusan disyaki syabu seberat kira-kira 7.174 kilogram. Siasatan lanjut membawa kepada penahanan rakan subahatnya di sebuah dewan di Luyang,” katanya dalam satu kenyataan media.
Susulan itu, siasatan terhadap kedua-dua suspek kemudian membawa tangkapan ke atas seorang lelaki, 50 tahun yang diambil di hadapan sebuah pusat beli-belah di Alam Mesra kira-kira jam 2 petang pada khamis lalu.
Dalam pada itu, pihaknya menemui 1.22 kilogram syabu dalam beg yang dibawanya.
Serbuan susulan di rumah suspek di Kampung Bantayan, Inanam membawa polis menemui lagi 1.22 kilogram syabu dan satu kilogram, ketamin,” katanya dalam sidang media, kelmarin.
Beliau berkata, jumlah dadah yang dirampas ialah 9.218 kilogram syabu dan 1 kilogram ketamin dengan nilai kira-kira RM386 848.
Mengulas lanjut, siasatan polis menunjukkan modus operandi sindiket ini adalah menempah dadah dari Semenanjung yang dihantar melalui perkhidmatan kurier dan menggunakan alamat palsu.
“Dadah itu diperoleh pada hari sama ketika suspek ditahan, dan kali ini mereka menukar cara dengan taktik penyembunyian dadah dalam kotak santan bagi mengelak dikesan,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut.