KUANTAN: Seorang daripada dua suspek yang melarikan diri selepas melanggar mati seorang penunggang motosikal dan mencuri sebuah kereta di Kilometer 269 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di Kemaman, Terengganu, telah ditahan hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek yang berumur 20-an itu telah ditahan bersama seorang rakan di sebuah homestay di Jaya Gading dalam operasi hari ini.
Wan Mohd Zahari berkata rakan suspek yang ditahan tersebut tidak terbabit dalam kes kemalangan maut dan langgar lari berkenaan.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas kereta yang digunakan suspek turut mendapati dadah jenis Methaphetamine seberat 55.2 gram dan Syabu seberat 5.14 yang telah dirampas oleh pihak polis.
“Penahanan suspek merupakan hasil daripada Ops Sarang Khas yang dilaksanakan bermula awal pagi hingga jam 12 tengah hari, hari ini.
“Suspek bersama rakannya ditahan untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati,” katanya dalam sidang media Ops Sarang Khas, hari ini.
Mengikut laporan, dua suspek yang menaiki Perodua Myvi telah melanggar seorang penunggang motosikal di Kilometer 269 LPT2 dekat Cheneh, Kemaman sekitar jam 1.15 tengah hari kelmarin, yang telah menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.
Kedua suspek dikatakan cuba melarikan diri sebelum kereta yang dipandu tersadai sekitar dua kilometer dari lokasi kejadian.
“Kedua suspek tersebut kemudiannya bertindak melarikan Nissan Grand Livina milik seorang lelaki yang berhenti dan bertanya kepada suspek mengenai tindakan mereka yang melarikan diri selepas melanggar mangsa berkenaan.
Menurut Wan Mohd Zahari, pihak polis Kuantan dan polis Kemaman akan bekejerjasama dalam mengendalikan kes berkenaan.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Hmetro


