KOTA KINABALU: Polis menahan seorang tukang cat kenderaan selepas seorang lelaki ditemui mati di Jalan Kionsom Lama, Inanam semalam.
Ketua Polis Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah berkata, sepasukan polis menyerbu sebuah rumah sewa di Kampung Bambangan dan menahan suspek berusia 43 tahun itu sekitar 11.20 pagi.
“Semasa tangkapan, suspek didapati memiliki telefon bimbit mangsa dan suspek turut mengaku terlibat dalam pembunuhan mangsa berusia 25 tahun,” katanya.
Jelas beliau, mayat mangsa ditemui isteri dan ahli keluarganya di kawasan semak kira-kira pukul 8 malam.
Siasatan awal mendapati mangsa dikatakan dihantar bapanya untuk berjumpa dengan pemilik sebuah bengkel di lokasi kejadian pada jam 1 tengah hari.
“Mangsa sempat menghantar lokasinya menerusi aplikasi WhatsApp kepada bapanya. Kemudian, mangsa tidak dapat dihubungi,” tambahnya.
Hasil pemeriksaan awal yang dijalankan oleh Unit Kecemasan Hospital Likas mengesahkan mangsa dipercayai mati dalam tempoh lebih enam jam dan terdapat kesan jerutan di leher.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tujuan bedah siasat selepas mendapat keputusan ujian saringan Covid-19,” ujarnya.
Suspek disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.