Georgetown: Seorang lelaki menikam isterinya dengan sebilah pisau sehingga mati, sebelum ditemui oleh penduduk dalam keadaan berlumuran darah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 12 di sebuah pangsapuri, Paya Terubong, hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V Saravanan, berkata pihak mereka menerima panggilan berkenaan kejadian pada jam 7.38 pagi sebelum mangsa yang berusia 54 tahun itu dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP).
Menurut V Saravanan, ibu mangsa tampil ke balai polis berhampiran dan memaklumkan bahawa rumah mangsa terkunci dari dalam dan meminta bantuan pihak berkuasa pada jam 12.30 hari ini.
“Ketika pintu dibuka, didapati seorang wanita terlantar di katil dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pihak forensik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu. Siasatan awal menemukan kesan luka pada paha dan leher wanita yang berusia 46 itu, yang juga merupakan isteri kepada lelaki terbabit. Sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut turut ditemukan oleh pihak polis.
“Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham serta pergaduhan antara suami isteri berkenaan. Kami percaya lelaki terbabit terjun dari tingkat 12 pangsapuri ini setelah menikam isterinya sehingga mati.
“Kes dikira selesai dan mayat mangsa akan dihantar ke HPP untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini. – Berita Harian