spot_img
HomeSemasaBayi menangis, masih bertali pusat ditemukan pengutip tin

Bayi menangis, masih bertali pusat ditemukan pengutip tin

Melaka: Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat bersama uri, ditemukan dalam bakul pakaian berhampiran sebuah restoran di Taman Mutiara, Batu Berendam, pagi tadi.

Bayi dipercayai baru dilahirkan itu ditemui seorang wanita berusia 51 tahun ketika sedang mengutip tin di sekitar restoran terbabit kira-kira jam 7 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada orang awam pada jam 7.15 pagi.

Wanita terbabit berasa curiga selepas mendengar tangisan bayi dari arah lingkungan restoran itu sebelum melakukan pemeriksaan di kawasan berkenaan.

“Wanita tersebut kemudian menjumpai bayi perempuan yang masih hidup di dalam ‘folding laundry basket’ warna krim. Badan bayi berkenaan dialas menggunakan kain batik dan badannya masih ada kesan darah.

Raiz Mukhliz berkata, wanita terbabit kemudian bergegas ke sebuah klinik berdekatan mendapatkan bantuan bagi menghubungi pihak polis dan ambulans.

Susulan itu, sepasukan anggota polis segera bergegas ke lokasi kejadian bagi mengesahkan kesahihan kes sebelum menghubungi pihak hospital yang menghantar ambulans untuk membawa bayi bagi rawatan selanjutnya.

“Terdapat tali pusat, uri dan kesan darah pada badan bayi terbabit,” katanya sambil memberitahu yang bayi itu kini dalam rawatan di Hospital Melaka.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu, diminta menghubungi atau tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan”, tambahnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular