spot_img
HomeSemasaSokong RUU, tidak hadir sebab bencana banjir Tenom - Riduan Rubin

Sokong RUU, tidak hadir sebab bencana banjir Tenom – Riduan Rubin

TENOM: Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin berkata tidak kehadiran beliau semasa pengundian Rang Undang-Undang Perlembagaan menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum sepuluh tahun kerana bencana banjir melanda Tenom.

Beliau menegaskan telah menunjukkan komitmen penuh untuk mengambil bahagian dalam perbahasan RUU tersebut dan menyokong RUU ini.

”Saya sedar kepentingannya dalam konteks reformasi institusi dan pengukuhan prinsip tadbir urus demokratik negara,” katanya.

Namun demikian, beliau tidak sempat meneruskan perbahasan pada saat akhir kerana keadaan bencana banjir yang berlaku di kawasan Parlimen Tenom.

Bermula 25 Februari 2026, Parlimen Tenom telah dilanda bencana banjir yang merupakan antara yang terburuk pernah direkodkan dalam sejarah kawasan ini.

Banjir tersebut telah menjejaskan 61 buah kampung melibatkan dalam anggaran 4,000 Ketua Isi Rumah (KIR).

“Kemusnahan yang berlaku bukan sahaja melibatkan kerosakan dan kehilangan harta benda, malah terdapat kediaman yang musnah sepenuhnya, gangguan kepada infrastruktur asas dan pemindahan besar-besaran penduduk ke pusat pemindahan sementara” katanya.

Lebih membimbangkan, hakisan tebing sungai di beberapa kampung menjadi semakin kritikal sehingga mengundang risiko keselamatan kepada nyawa dan harta benda penduduk.

Dalam keadaan sedemikian, penyelarasan segera bersama Pejabat Daerah, agensi keselamatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pasukan sukarelawan amat diperlukan bagi memastikan bantuan dapat disampaikan secara cepat, tersusun dan berkesan.

Jelasnya, sebagai Ahli Parlimen yang diberi mandat oleh rakyat, adalah menjadi tanggungjawab moral dan perwakilan untuk saya berada bersama mereka ketika saat paling getir ini.

“Saya telah memaklumkan secara rasmi kepada YAB Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri II dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat berhubung ketidakhadiran tersebut,” tambahnya.

Walaubagaimanapun, Riduan tetap mengambil tanggungjawab dengan memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi susulan ketidakhadirannya dalam proses pengundian tersebut.

Ketidakhadiran beliau bukanlah cerminan sikap tidak mengambil peduli terhadap proses demokrasi, tetapi merupakan satu keputusan sukar yang dibuat demi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Tenom terpelihara.

“Komitmen saya terhadap reformasi institusi, prinsip kebertanggungjawaban dan kesejahteraan negara tetap utuh.”

“Namun dalam keadaan bencana luar biasa yang menimpa rakyat di kawasan saya, keutamaan kemanusiaan tidak boleh diketepikan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular