KINABATANGAN : Kerajaan Sabah telah memohon peruntukan sebanyak RM265 juta untuk membaiki jalan rosak di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pihaknya turut bersimpati dengan rungutan rakyat terutama pengguna jalan yang terkesan dengan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di pantai timur Sabah.
Bung berkata beliau telah berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam dan beliau telah memaklumkan Kementerian Kewangan berhubung permohonan peruntukan tersebut.
“Peruntukan ini adalah untuk membaiki jalan, bukan untuk menaik taraf sebab kalau menaik taraf, jalan itu akan dirobohkan semula dan akan ada jajaran baharu,” tambahnya.
“Kerja membaiki jalan yang rosak itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun setengah,” tambahnya lagi.
Berhubung masalah ini, jalan raya di pantai timur Sabah terutama antara daerah Telupid dan Sandakan yang menjadi laluan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, mengalami kerosakan teruk kerana tidak diselenggara dengan baik sejak negara melalui beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19.- BERNAMA