Sipitang: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memindahkan lapan keluarga yang terjejas banjir ke kawasan selamat dalam beberapa siri operasi di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang Calvin Joe Jeofery berkata keseluruhan 26 mangsa dari lima buah kampung itu dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan rumah saudara terdekat berikutan banjir yang melanda kawasan berkenaan sejak malam kelmarin.
“Tujuh keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Mesapol bermula jam 9.50 malam hingga 6 pagi semalam membabitkan mangsa dari empat buah kampung iaitu Kampung Kaban, Kampung Pantai, Tanjung Nipis, dan Kampung Ranau-Ranau”
“Sebuah lagi keluarga membabitkan tujuh mangsa dari Kampung Skim Sindumin di sini dipindahkan ke rumah saudara mara terdekat pada jam 9 pagi semalam,” katanya.
Menurutnya kesemua mangsa dipindahkan menggunakan bot milik JBPM dan operasi pemindahan yang dilakukan pasukan BBP Sipitang berjalan lancar tanpa membabitkan perkara tidak diingini.
“Setakat jam 7.30 pagi tadi keadaan banjir beransur surut dan pasukan bomba akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa di kawasan yang dinaiki air.”
Operasi memindahkan penduduk kampung yang terjejas banjir turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kita juga kini dalam mod bersiap sedia setiap masa bagi melakukan sebarang pemindahan sekiranya memerlukan”, tambahnya lagi.